Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada media mengenai kejayaan polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan dadah bernilai RM4.92 juta ketika di IPK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2024.

SHAH ALAM – Kehadiran ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin di lokasi penemuan jasad anaknya semalam adalah sebahagian daripada prosedur siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia antara proses sebelum kertas siasatan yang lengkap dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Itu sebahagian tindakan lengkapkan siasatan maka itu sebab kita berbuat sedemikian. Seperti kebiasaan, setiap kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk sebarang keputusan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, beliau tidak dapat mengulas lanjut sama ada kertas siasatan telah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya atau sebaliknya kerana tidak mempunyai maklumat terperinci.

Dalam masa sama beliau tidak mahu memberi sebarang komen mengenai persoalan sama ada ibu bapa kanak-kanak autisme itu akan didakwa esok atau dibebaskan.

Ia susulan akan ada kenyataan berkenaan kes itu oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Reman akan tamat esok, jadi saya tidak dapat berkongsi apa-apa petang ini dan mereka juga tidak boleh disambung reman lagi. Maka, tunggulah jika Pengarah JSJ mahu beri perkembangan kes itu nanti,” ujarnya.

Jumaat lalu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 28 tahun disambung reman enam hari lagi yang berakhir esok selepas tempoh seminggu sebelum ini tamat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung 6 hari lagi