Fahmi Abd Moin, peguam yang dilantik oleh keluarga bagi mewakili ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin. Foto AIZAT ZAINAL, 07 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Tempoh reman terhadap bu bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin akan berakhir esok.

Peguam yang mewakili pasangan itu, Fahmi Abd Moin berkata, beliau masih belum dapat apa-apa maklumat atau perkembangan berkaitan anak guamnya ketika ini.

Kata Fahmi, walaupun pihaknya sudah membuat permohonan bertulis untuk berjumpa dengan anak guamnya sejak tempoh reman disambung Jumaat lepas, namun tidak mendapat maklumbalas daripada polis.

“Saya masih belum dapat apa-apa maklumat lagi tentang anak guam saya melalui pegawai penyiasat. Saya jumpa anak guam saya Jumaat lepas di Mahkamah Majistret Petaling Jaya ketika permohonan sambung reman.

“Kita sudah mohon sambung reman tapi tiada maklum balas, saya percaya mereka mahu ruang untuk lakukan siasatan dan kita faham,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, ibu Zayn Rayyan dibawa polis ke Apartmen Idaman, Damansara Damai, lokasi kediaman keluarga selain ke tempat mayat kanak-kanak itu ditemui.

Ia merupakan proses melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn sehingga mayatnya ditemui pada 6 Disember lalu.

Bagaimanapun kelibat ayah Zayn Rayyan tidak kelihatan di lokasi berkenaan yang dikawal ketat oleh polis. – MalaysiaGazette