Peguam, Mahmud Abdul Jumaat.

KUALA LUMUPUR – Peguam, Mahmud Abdul Jumaat menjelaskan, beliau masih mewakili ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh anak istimewa itu.

Mahmud menerusi hantaran Facebooknya berkata, keputusan tersebut dibuat atas pertimbangannya selepas berjumpa dengan keluarga wanita tersebut.

Jelasnya lagi, beliau seperti rakyat Malaysia lain menuntut keadilan terhadap arwah Zayn Rayyan yang dibunuh dan diseksa secara kejam.

“Maaf kepada semua yang menanti penjelasan saya. Saya juga seperti anda semua lebih menginginkan keadilan buat arwah Zayn Rayyan yang dibunuh, diseksa secara kejam.

“Kerana itulah saya agak hairan berkenaan dengan point pertama kenyataan media yang dibuat oleh datuk arwah tempoh hari mengenai tiada pelantikan peguam secara rasmi oleh keluarga ke atas saya.

“Perlu ke sampai nak buat kenyataan media? Seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap saya,” katanya menerusi dalam di Facebook.

Pada 4 Jun lalu, Mahmud yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan dilaporkan mengambil keputusan menarik diri sebagai peguam pasangan itu berikutan mahu memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya.

Beliau berkata, tiada langsung isu salah faham daripada pihaknya, media mahupun keluarga Zaim berikutan segala-galanya sangat jelas.

“Pada 31 Mei lalu, saya dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan sekitar jam 11 malam dikhabarkan ibu bapa arwah, Zaim dan Isma ditahan pada pagi (Jumaat) dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman keesokannya.

“Saya ingin tekankan ini bukan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri. Entah dari mana timbul cerita, saya ini dari NGO?

“Masa bila saya mahu mendapatkan ‘sign’ (tandatangan) surat pelantikan rasmi?” soalnya.

Mahmud berkata, beliau dengan ikhlas hati ingin membantu kerana dalam hatinya simpati pada pasangan suami isteri yang sudah kehilangan anak dan kini direman atas sebab orang yang disyaki (OYDS).

“Waktu itu saya tidak terfikir ini bakal menjadi satu isu yang akan dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.

“Walhal tiada kewajipan untuk surat perlantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah. Asalkan pihak OYDS atau wakil keluarganya setuju melantik peguam, ia sudah memadai.

“Apatah lagi sebelum saya masuk ke dalam mahkamah, saya sudah mengesahkan dengan keluarga ibu bapanya sendiri untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, perkara mengenai pelantikan rasmi peguam tidak perlu dibincangkan lagi kerana beliau memang berada di mahkamah pada hari terbabit dan hanya mereka peguam yang dipanggil oleh keluarga berkenaan.

Kemudian pada Ahad, Mahmud menjelaskan, pihak keluarga iaitu datuk Zayn Rayyan mahu berjumpanya kerana datuknya itu tidak berada di mahkamah ketika reman.

“Jadi saya dengan ikhlas mengajak mereka berjumpa dan berbincang dengan saya di pejabat saya pada Isnin walaupun hari cuti umum. Bagi saya, biarlah saya berkorban masa demi mahu memudahkan urusan mereka.

“Selepas perjumpaan itu, keesokannya saya membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu, seperti kenyataan saya apabila dihubungi oleh rakan media.

“Tiba-tiba saya menerima berita, saya tidak pernah dilantik menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Bagi saya itu fitnah! Saya datang mahkamah tempoh hari untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah?

“Mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa? Bukan itu sahaja, keluarga Zaim terutama ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu. Meminta nasihat dan bertanya pendapat saya sebagai peguam,” ujarnya.

Bagaimanapu, Mahmaud memaklumkan, beliau telah dihubungi oleh datuk arwah Zayn Rayyan melalui aplikasi whatsApp mengenai isu terbabit dan beliau memohon maaf tentang apa yang berlaku.

“Saya harap isu pelantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini.Untuk pengetahuan semua, saya masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan.

“Kami hadir ke mahkamah tempoh hari mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan). Ini adalah atas pertimbangan saya untuk mewakili ibu Zayn Rayyan selepas berjumpa dengan keluarga mereka.

“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada keluarga Isma atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes. ‘Orang berbudi kita berbahasa’.

“Kalau tidak mahu ucap terima kasih sekalipun sekurang-kurangnya jangan kita menyakiti hati orang membantu kita,” katanya. – MalaysiaGazette