PETALING JAYA – Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pagi ini sekali lagi menjadi tumpuan apabila pengamal media berkumpul bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kes reman ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang maut dibunuh Disember tahun lalu.

Mahkamah itu hari ini dikawal ketat apabila pengamal media dan orang awam tidak dibenarkan keluar masuk tanpa urusan rasmi.

MalaysiaGazette difahamkan kawalan ketat itu dibuat ekoran kekecohan yang tercetus di mahkamah pada Jumaat lalu.

Sehingga kini media belum dibenarkan masuk ke perkarangan kompleks berkenaan.

Cuma, media dimaklumkan ada prosiding yang dilakukan secara tertutup melibatkan kes berkenaan.

Walau bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, media  di sini  tidak diberikan penjelasan lanjut.

Reman kedua-dua ibu bapa kanak-kanak berusia 6 tahun itu sepatutnya tamat esok (Khamis) selepas disambung enam hari lagi bermula Jumaat yang lalu.

Sebelum ini, pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei lalu sebelum direman tujuh hari sehingga 7 Jun lalu.

Reman pasangan ini disambung reman enam hari lagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, terdapat percanggahan keterangan daripada ibu, bapa dan saksi antara sebab siasatan lanjut perlu dilakukan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan siasatan akan menggunakan tempoh reman yang diluluskan mahkamah majistret  untuk melengkapkan siasatan secara terperinci.

“Polis sedang menjalankan berbagai usaha dalam melengkapkan siasatan. Ada perkara perkara yang perlu disemak semula, ada perkara perkara yang  tidak selari ataupun tidak konsisten daripada keterangan-keterangan daripada saksi dan ibu bapa,” katanya. -MalaysiaGazette