Gambar hiasan

JASIN – Seorang doktor sebuah klinik swasta terkenal di Merlimau ditahan bagi membantu siasatan kes cabul seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga kakitangan klinik berkenaan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 3.15 pagi di pekarangan Balai Polis Merlimau selepas menyedari mangsa membuat laporan terhadapnya.

Menurutnya, mangsa remaja perempuan berusia 19 tahun itu membuat laporan di balai polis sama pada pukul 2.24 pagi mendakwa dicabul suspek.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi

“Permohonan reman terhadap suspek yang merupakan doktor luar dan ditugaskan di klinik berkenaan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini selama tiga hari sehingga 15 Jun ini.

“Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek sudah berkahwin, manakala mangsa pula bekerja di klinik itu sejak September tahun lalu.

“Difahamkan ketika kejadian mangsa dan suspek sedang berbual selain terdapat kakitangan lain di dalam klinik berkenaan namun tidak menyedari kejadian terbabit.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette