Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari diiring keluar selepas mengaku tidak bersalah tuduhan abai anak di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

PETALING JAYA – Ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Tuduhan dibacakan di depan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Zaim Ikhwan Zahari yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira Abdul Manaf berbaju merah membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin berusia enam tahun telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron.

Manakala pihak pembelaan oleh peguam, Fahmi Abd Moin (Zaim) dan Mahmud Jumaat (Ismanira).

Sebagai rekod, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam pada 6 Disember tahun lalu.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis kemudian mengesahkan mangsa dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang tertuduh.

Pasangan itu juga diarahkan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan selain dilarang menganggu saksi pendakwaan.

Terdahulu, Fahmi dan Mahmud memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM5,000 untuk mereka berdua.

Hakim juga mengarahkan supaya  pihak yang terlibat dalam kes berkenaan tidak mengeluarkan kenyataan yang subjudis.

Tarikh sebutan kes adalah pada 26 Julai 2024.

 

Peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Fahmi Abd Moin bercakap kepada wartawan sebaik saja tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

Terdahulu peguam mereka, Fahmi Abd. Moin memaklumkan datuk dan nenek Allahyrham Zyan Rayyan yang ditahan reman semalam akan dibebaskan di mahkamah yang sama hari ini. – MalaysiaGazette