Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dibubarkan oleh Kementerian Pengangkutan atas persetujuan Kabinet, kata Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan itu berkata, semua fungsi badan itu dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Badan kawal selia industri penerbangan Malaysia dirombak dan diletakkan di bawah satu entiti untuk memangkinkan perkembangan industri penerbangan awam selari dengan hala tuju dasar kerajaan supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Pembaharuan ini juga bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Keputusan itu, kata Anthony, dibuat setelah kerajaan bersetuju untuk membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) pada sidang Parlimen akan datang.

Mengulas lanjut, Anthony menegaskan, langkah penggabungan itu untuk dijadikan satu entiti untuk memangkinkan perkembangan industri penerbangan awam selari dengan hala tuju dasar kerajaan supaya lebih berdaya saing peringkat antarabangsa.

Pembaharuan itu juga bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

“Dengan penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak, tiada lagi keperluan untuk mendapat kelulusan berasingan daripada dua agensi.

“Sebaliknya, satu entiti kerajaan akan memproses permohonan kelulusan teknikal dan pengeluaran lesen,” kata Anthony lagi.

Dalam pada itu, Kabinet turut menamatkan Konsesi Pengerukan dan Penambakan Integrated Marinw Works Sdn. Bhd (IMW) atas alasan pelanggaran syarat-syarat perjanjian.

Anthony berkata, perkara itu dipersetujui Kabinet pada 29 Mei lalu kerana pihak IMW telah bertindak menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan.

“Semasa Perjanjian Konsesi Pengerukan dan Penambakan,ditandatangani, syarikat IMW dimiliki sepenuhnya oleh Inai Kiara Sdn. Bhd.

“Bagaimanapun, sekitar bulan Julai 2023, MOT telah mendapat makluman bahawa syarikat Inai Kiara telah pun digulung (wind up) melalui Perintah Gulung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 11 April 2023.

“Siasatan lanjut MOT mendapati bahawa pemegang saham syarikat IMW telah ditukar daripada Inai Kiara kepada Inai Warisan tanpa kebenaran Kerajaan,” kata Anthony.

Selain itu, IMW turut didapati gagal membuat pembayaran caj konsesi bagi tahun 2023 seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi. – MalaysiaGazette