Lelaki yang memukul dan menikam isterinya sehingga maut di kediaman pasangan itu di Kampung Simee semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan.

IPOH – Lelaki yang dikaitkan dengan kes memukul dan menikam isterinya sehingga maut di kediaman pasangan itu di Kampung Simee semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 56 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Khamis.

Prosiding reman itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

Terdahulu, suspek yang berpakaian kemeja-T putih dan berseluar trek kelabu kelihatan tiba di mahkamah pukul 11.10 pagi.

Suspek terbabit kemudiannya dibawa keluar daripada mahkamah kira-kira 20 minit kemudian dan dilihat berada dalam keadaan tenang.

Semalam, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 48 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah di kawasan rumahnya di Kampung Simee dengan tiga kesan tikaman di bahagian dada dan kecederaan di bahagian kepala.

Menurutnya, suspek ditahan sekitar jam 10 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala sekitar 9.26 pagi.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa baru bersarapan bersama suspek yang sekitar 8 pagi.

Apabila tiba di rumah, dikatakan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suami sehingga lelaki itu dipercayai bertindak memukul mangsa di bahagian kepala dan menikamnya beberapa kali.

Lebih memilukan apabila anak perempuan pasangan itu yang baru berusia 12 tahun dipercayai turut menyaksikan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette