Tertuduh See Yong Fei, 35, mengaku tidak bersalah di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan membelasah teman wanitanya hingga parah dan patah beberapa anggota badan minggu lalu.

Tertuduh See Yong Fei, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan wanita berusia 38 tahun itu cedera parah dengan cara memukul dan menumbuk muka dan tangan serta menendang belakang badan menyebabkan patah di beberapa bahagian anggota badan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Desa Bertam, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.28 malam 7 Mei lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, tindakan itu dilakukan kerana mangsa yang tinggal bersamanya keluar rumah untuk membeli sayur walaupun tidak diizinkan tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon jaminan rendah RM5,000 kerana tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor hanya berpendapatan kira-kira RM5,000 sebulan selain menanggung lima anak berusia antara 6 bulan hingga 15 tahun.

Anak guamnya juga hujahnya, bukanlah suami mangsa yang sah kerana tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. Hadir sama, peguam pemerhati mangsa, Kent Tan Chow Teng, Cassian Anthony dan Francis Augustine.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kekasihnya itu berusia 14 tahun, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan itu di alamat sama kira-kira pukul 6.30 petang 17 September tahun lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM15,000 jika mahkamah menggunakan budi bicara beserta syarat tambahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 serta syarat tambahan melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran selain tidak mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Kedua-dua kes akan disebut semula 31 Julai ini. – MalaysiaGazette