Ahmad Shabery dan Wan Rosdy dalam sat majlis bersama warga Felda, baru-baru ini.

HARI Peneroka Felda (HPF) 2024 yang dijadualkan berlangsung di MAEPS, Serdang, dari 12 hingga 14 Julai dijangka akan mencatatkan sejarah besar. Secara tradisinya ia hanya dilangsungkan selama separuh hari tetapi kali ini ia akan dilangsungkan selama tiga hari dan tiga malam.

Bagi menjayakan HPF 2024, terdapat 12 kluster dengan bidang fokus yang berbeza ditubuhkan. Setiap satu kluster diberi tanggungjawab untuk merangka program-program yang berada di bawah fokus mereka bertepatan dengan hasrat untuk memastikan ada sesuatu untuk semua orang.

Kluster 1, Keusahawanan, akan menonjolkan peluang dan inisiatif keusahawanan melalui pameran dan jualan produk kraf, tekstil dan makanan serta penyediaan kupon makanan. Sebanyak 172 tapak gerai disediakan kepada usahawan di kalangan warga peneroka, kementerian dan industri.

Pebagai acara menarik seperti Pertunjukan Fesyen Tenung Pahang, demonstrasi kraf, taklimat berkaitan keusahawanan, pertandingan dan persembahan akan turut diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kraftangan Malaysia.

Kluster 2, Feel Da Starz, menyediakan platform bagi bakat tempatan dalam bidang hiburan dan pertunjukan untuk bersinar dan berinteraksi dengan komuniti melalui pelbagai bentuk persembahan dan aktiviti seperti program pencarian bakat FEEL DA STARZ (FDS).

Program FDS merupakan program realiti nyanyian yang mempertandingkan bakat-bakat nyanyian untuk memberi peluang kepada komuniti Felda yang berbakat mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi setelah melalui saringan di beberapa siri jelajah Felda.

Kluster 3, Hospitaliti, merangkumi Segmen Pelancongan yang memperkenalkan pelbagai tarikan di setiap Felda Wilayah, Segmen Kesihatan yang memfokuskan penyediaan khidmat kesihatan dan gaya hidup sihat dan Segmen Hartanah yang menawarkan perkhidmatan dan jualan hartanah.

Selain itu, Felda D’Saji menawarkan pelbagai pameran, jualan dan perkhidmatan katering terbesar di Malaysia, pakej perkahwinan, produk-produk penyelidikan dan pembangunan dalam bentuk menu dan citarasa baru serta lokasi majlis seperti dewan, kafeteria, asrama dan restoran.

Kluster 4, Sukan dan Gaya Hidup, mengendalikan aktiviti sukan, program kesejahteraan dan pameran gaya hidup sihat dan aktif di mana pelbagai aktiviti sukan melibatkan semua lapisan masyarakat akan dianjurkan dengan kerjasama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Aktiviti sukan tersebut adalah seperti Waqaf Run 2.0, Fun Ride (Basikal), Pertandingan Memancing, ESports Felda Nation Mobile Legend Bang Bang (MLBB) Championship, Teroka Race dan Ping Pong Piala Felda KBS yang dijangka akan memecahkan rekod Malaysia.

Kluster 5, Pendidikan dan Kerjaya, menyediakan platform kepada generasi Felda untuk mengakses pelbagai peluang pendidikan dari institusi awam, swasta dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menjelajahi prospek kerjaya dan memperluas jaringan profesional.

Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Karnival Pendidikan dan Kerjaya yang menyediakan lebih 70 pempamer serta program Masterclass, iaitu platform pembelajaran selama dua jam bagi memperkasakan ilmu dan kemahiran dalam lebih 20 topik oleh pakar dan pempengaruh.

Kluster 6, Perladangan dan Perniagaan Tani, mempamerkan inovasi dan peluang dalam bidang ini. Antara aktivitinya ialah Program Showcase, iaitu pameran dan jualan produk barangan dan makanan, dan Tradeshow, iaitu acara yang diadakan untuk mempertemukan penggiat industri.

Turut diadakan ialah Business Matching bagi mempertemukan pengguna dengan pembekal, Jualan Agro Madani, Mini Forum iaitu forum khas mengenai pertanian dan mekanisme perladangan pintar dan Internet Of Thing (IOT) perladangan serta pameran dan pertandingan haiwan.

Kluster 7, Kerohanian, menawarkan pelbagai inisiatif bertujuan menyuburkan kerohanian dalam kalangan Warga Felda seperti Zakat Asnaf Kebangsaan, Khatam 5 Minit, Pertandingan Hijrah Kesenian Islam, Felda x Hijrah Berselawat, Semarak Subuh dan Khutbah Hijrah Perdana.

Kluster 8, Festival Makanan Felda FGV, menampilkan pelbagai jenis hidangan makanan dan merayakan warisan kulinari masyarakat Felda dengan aktiviti seperti Perajurit Dapur, Pertandingan Memasak dan Pameran Pesta Makanan membabitkan 317 Rancangan Felda.

Kluster 9, Promosi, bertugas mempromosikan HPF 2024 merentasi platform media yang berbeza dengan tiga tema kandungan utama, iaitu kisah kejayaan warga Felda, inisiatif yang dilakukan oleh Felda dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan, selain mempromosikan setiap kluster.

Kluster 10, Jambori dan Himpunan 2 Roda, akan mengadakan Feel Da Tour, Konvoi Motosikal ke Karnival Segalanya Felda, SKXFELDA yang menghimpunkan 50,000 peminat sukan 2 roda serta Jambori Felda Nation yang menghimpunkan 3,000 peminat aktiviti perkhemahan.

Kluster 11, Perasmian, bertanggungjawab untuk menguruskan upacara pembukaan dan penutupan rasmi HPF 2024 dengan fokus utama kepada Majlis Perasmian HPF 2024 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 14 Julai 2024.

Kluster 12, Festival FGV, pula mempamerkan pelbagai inisiatif oleh FGV merangkumi rangkaian produk makanan, barangan pertanian dan perkhidmatan dengan aktiviti seperti Mini Market “Kedai FGV”, Pakej Umrah Rahmah, Inisiatif Kelestarian FGV dan Demo Masakan FGV.

Dengan jangkaan kehadiran seramai 500,000 peserta serta jangkaan jualan dan perjanjian sebanyak lebih RM25 juta, HPF 2024 tidak melibatkan kenaikan peruntukan penganjuran dari Felda sebaliknya ditampung oleh dana kutipan amal dan sokongan daripada pelbagai kementerian.

Oleh itu tidak berbangkit sebarang isu kononnya penganjuran HPF 2024 secara besar-besaran adalah melibatkan pembaziran dana kerajaan. Sebaliknya, pelbagai aktiviti yang dirancang berpotensi untuk menjana pendapatan bagi golongan peneroka Felda dan masyarakat awam.

Pengisian HPF 2024 ini tidak syak lagi adalah gambaran kepada visi besar Pengerusi Felda, Datuk Ahmad Shabery Cheek, untuk melonjakkan kembali nama dan kegemilangan Felda seperti yang pernah kita kenali dahulu. Semoga visi ini akan mendapat sokongan penuh dari semua pihak.

Aida Rozita Mokhtar

Aida Rozita Mokhtar adalah Setiausaha Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (BERDAYA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberdayakan ummah, termasuk peneroka Felda