Wong Choon Foo, 56, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya sehingga mati di Kampung Simee, Ipoh, pada Rabu lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

IPOH – Penjaja chee cheong fun yang dipercayai memukul dan menikam isterinya sehingga mati dalam kejadian di Kampung Simee, di sini, Rabu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Wong Choon Foo, 56, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Yew Mee Foong, 48.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Simee antara jam 8.30 hingga 9 pagi pada 12 Jun lalu.

Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dengan minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 48 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah di kawasan rumahnya di Kampung Simee dengan tiga kesan tikaman di bahagian dada dan kecederaan di bahagian kepala.

Menurutnya, suspek ditahan sekitar jam 10 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala sekitar jam 9.26 pagi. – MalaysiaGazette