Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil diringi Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Wira Ameer Ali Mydin menunjukkan barangan Mee Kuning 400g RM0.10 sempena pembukaan Mydin Mart di Mydin Mart Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 15 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Terdapat perbezaan pola penjualan diesel bersubsidi di stesen minyak di Selangor ekoran sebelum dan selepas penyelarasan subsidi bahan api itu, kata jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, ia berdasarkan kepada laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ekoran aktiviti pemantauan yang dibuat kementerian berkenaan.

“Pemantauan di stesen minyak di Selangor khususnya didapati berlaku perubahan besar dari segi pola jualan desel sebelum dan selepas pengumuman dan pelaksanaan penyasaran semula subsidi desel dan jumlah itu cukup mendadak.

“Malah ia memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa langkah untuk menyasar subsidi tapi kepada kumpulan yang layak dan memerlukan dan itu adalah langkah tepat dan kita berjaya sedikit sebanyak untuk membantut dan mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan diesel,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Mydin Mart di Mydin Pantai Dalam, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, selepas penyasaran subsidi diesel, pihaknya mendapati penjualan bahan api tersebut turun dengan mendadak daripada kurangnya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

“Ini membuktikan bahawa kerja-kerja penyeludupan berlaku dengan sangat berleluasa.

“Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah) berkata 2 bilion liter diesel bersubsidi kita tidak tahu pergi ke mana? Kita anggarkan daripada kehilangan itu bersamaan dengan RM3.5 bilion,” katanya.

Jelasnya lagi, langkah penyasaran subsidi diesel telah berjaya mengurangkan aktiviti tersebut.

Pada Ahad lalu, Amir Hamzah mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam.

Beliau berkata, ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here