Aliran trafik menghala ke Pantai Timur melalui Lebuhraya KL Karak kelihatan sesak berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidiladha. Foto SADIQ SANI, 15 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya menuju keluar ibu negara sesak berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi media sosial rasminya memaklumkan, keadaan trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dari Senai ke Kulai dan Juru ke Sungai Dua.

Malah, aliran rafik turut perlahan dari arah Selatan di Southville City ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban dan dari Ayer Keroh ke Jasin.

PLUS melaporkan, terdapat kemalangan di Kilometer (KM) 419.2 arah Utara dari Bukit Tagar ke Lembah Beringin, namun tiada lorong terhalang namun, trafik bergerak perlahan.

Keadaan sama turut berlaku dari Taiping ke Bukit Merah kerana terdapat kemalangan di KM191.0.

Sementara itu, LPT Trafik menerusi laman sosial X memberitahu, setakat pukul 1 tengahari tadi, aliran trafik perlahan sebelum Plaza Tol Gombak, Gombak, Bukit Tinggi dan Lentang akibat pertambahan kenderaan.

Selain itu, trafik perlahan di KM118.7 hingga KM123.9 arah Timur berikutan pertambahan kenderaan di laluan kontra.

Terdahulu, LLM menjangkakan jumlah kenderaan di Plus, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2 meningkat sehingga 2.52 juta sempena perayaan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here