MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM65,000 dari sebuah syarikat pembekalan barangan di negeri tersebut.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu telah ditahan kira-kira 9 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Miri pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 19 Jun 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Helmi Ahmad Jani.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat memperoleh suapan dari sebuah syarikat pembekalan barangan bagi Program Bantuan Geran semasa bertugas di salah sebuah bandar di Sarawak sekitar tahun 2019 hingga 2022,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Sarawak, Tuan Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette