Amah Indonesia yang didakwa didera dipukul dan dirotan majikan tanpa dibayar gaji selama enam bulan diselamatkan Atipsom JSJ Bukit Aman dalam serbuan di Selayang pada Khamis.Ihsan JSJ Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja tidak dibayar gaji, seorang pembantu rumah warga Indonesia turut ditampar dan dirotan oleh majikannya.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 24 tahun itu berjaya diselamatkan oleh pasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah kediaman di Selayang, di sini, semalam.

Ketua Penolong Pengarahnya, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan di sebuah rumah berkembar dua tingkat pada jam 6.15 petang itu, pihaknya menahan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun.

“Suspek yang juga bekerja sebagai akauntan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Amah Indonesia yang didakwa didera dipukul dan dirotan majikan tanpa dibayar gaji selama enam bulan diselamatkan Atipsom JSJ Bukit Aman dalam serbuan di Selayang pada Khamis.Ihsan JSJ Bukit Aman

Menurut Soffian, siasatan mendapati mangsa telah bekerja sejak enam bulan lalu dan wanita itu dipercayai didera oleh majikannya dengan merotan dan menampar.

“Terdapat kesan lebam baharu dipercayai didera oleh majikan antaranya di bahagian tangan kiri dan pipi sebelah kiri pada badan mangsa tersebut.

“Mangsa dikatakan telah dijanjikan gaji bulanan RM1,400 dan mendakwa tidak pernah menerima sebarang duit gaji selama bekerja dengan suspek itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast