Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azman Azeez

KUALA LUMPUR –  UMNO tidak berada dalam keadaan terdesak untuk mencari rakan politik, sebaliknya mempunyai kedudukan dan nilai tawar tersendiri sehingga banyak pihak mahu mendapatkan kerjasama parti itu.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azman Azeez berkata, perkara yang lebih utama ketika ini ialah memastikan agenda penyatuan orang Melayu tidak diketepikan ketika isu berkaitan bangsa dan agama semakin kerap menjadi perhatian.

“Melayu ini tidak boleh kita tinggalkan kerana apa yang berlaku, isu demi isu kebanyakannya menyentuh soal bangsa, menyentuh soal agama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, sudah tiba masanya pemimpin dan kelompok berkepentingan dalam masyarakat Melayu duduk bersama untuk membincangkan masa depan secara lebih terbuka, tanpa membiarkan perbezaan politik terus menjadi punca perpecahan.

Azman berkata, penyatuan Melayu juga bukan bertujuan memberi manfaat kepada orang Melayu semata-mata, sebaliknya mempunyai kaitan dengan kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Penyatuan orang Melayu ini bukan hanya untuk orang Melayu, penyatuan orang Melayu ini adalah untuk rakyat Malaysia seluruh,” ujarnya.

Katanya, usaha ke arah penyatuan itu turut selari dengan inisiatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membawa agenda penyatuan ummah sebagai antara usaha memperkukuh kembali kekuatan masyarakat Melayu.

Azman berkata, perkembangan politik semasa juga menunjukkan masih ada keperluan untuk UMNO menilai kedudukan dan arah perjuangannya, khususnya dalam konteks kerjasama yang sedang berlangsung dalam Kerajaan Perpaduan.

“Duduk je dalam kerajaan Perpaduan, tapi tak nampak macam ada perpaduan pun kerana pihak sebelah sana semua tahulah dengan DAP, caranya sebagainya, pemikiran yang ekstrem dan sebagainya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menolak tanggapan UMNO kini sedang mencari-cari arah atau terpaksa mendapatkan kerjasama mana-mana parti bagi memastikan kelangsungan politiknya.

“Kalau nak kata UMNO dalam keadaan terdesak dan sedang mencari arah ataupun nak bekerjasama dengan sesiapa, saya rasa sebaliknya kerana UMNOlah hari ini yang sebenarnya sedang banyak pihak nak meminang,” tegasnya.

Menurutnya lagi, keadaan itu dapat dilihat menerusi perkembangan politik di beberapa negeri apabila UMNO terus menjadi sasaran kritikan, termasuk selepas perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, pada masa sama masih terdapat usaha untuk mendapatkan kerjasama UMNO di Melaka, yang menunjukkan parti itu masih mempunyai kedudukan penting dalam percaturan politik semasa.

“Jadi tak ada mana kata UMNO yang terdesak, tidak sama sekali,” katanya.

Azman berkata, perkembangan berkenaan sepatutnya menjadi dorongan kepada UMNO untuk terus memperkukuh parti, menyatukan kekuatan akar umbi dan menentukan hala tuju berdasarkan kepentingan orang Melayu serta rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here