Gambar file lemas. Foto HAZROL ZAINAL, 25 FEBRUARI 2022.

KUANTAN – Seorang wanita warganegara India dilaporkan lemas selepas terjatuh semula ke dalam laut usai melakukan aktiviti discovery diving di perairan Renggis Pulau Tioman, Rompin hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi oleh pihak Klinik Kesihatan Kampung Tekek.

“Siasatan mendapati, mangsa bernama Sabiya Shiek, 65 bersama enam ahli keluarga tiba dari Singapura semalam dan menetap di sebuah resort di Pulau Tioman sehingga 14 September ini.

“Mangsa sekeluarga kemudian memulakan aktiviti discovery dive di pesisir pantai dan perairan Renggis hari ini bersama dua jurulatih selam dan seorang Dive Master,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas melakukan anggaran 15 minit aktiviti menyelam pada kedalaman 7 meter di kawasan Pulau Renggis, mangsa yang naik ke permukaan air memaklumkan kepada jurulatih selam untuk balik semula ke dalam bot.

Setelah jurulatih selam itu menghantar mangsa ke bot, jurulatih selam itu kemudian katanya kembali semula ke dalam laut.

Sharif Shai berkata, semasa mangsa hendak naik ke atas bot, dia dibantu seorang anak perempuannya menanggalkan peralatan selaman.

“Semasa hendak memanjat tangga bot sambil memegang tangan anaknya di dalam bot, mangsa yang tidak mempunyai lesen menyelam dipercayai tergelincir dan jatuh semula ke dalam laut dan tidak timbul kerana peralatan selaman pada badannya telah dibuka,” katanya lagi.

Proses pencarian kemudian dilakukan jurulatih selam yang akhirnya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terdampar di dasar berpasir tidak jauh dari kawasan selaman.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Kampung Tekek dan disahkan telah meninggal dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here