Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan pergulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh terus mengharapkan bantuan atau ihsan parti lain untuk kembali menjadi kuasa politik utama negara, sebaliknya wajib membina kekuatan sendiri sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengalaman politik lalu sepatutnya menjadi pengajaran kepada parti supaya tidak terlalu bergantung kepada pihak lain, termasuk dalam soal menentukan kelangsungan politik UMNO.

Katanya, sebarang persefahaman politik yang diwujudkan tidak seharusnya menyebabkan UMNO mengabaikan usaha memperkukuh parti dari dalam.

“Jangan harap kepada ihsan orang. Jangan kita harapkan pertolongan orang, bantuan orang lain, parti lain.

“Binalah kekuatan dalaman kerana dengan membina kekuatan sendiri, kekuatan dalaman kita.

“Kita akan dapat pastikan kekuatan itu menjadi benteng untuk mengharungi apa jua yang akan kita hadapi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, UMNO pernah melalui pengalaman dikecewakan dalam hubungan politik dan tidak wajar mengulangi perkara sama.

“Kita pernah berpengalaman macam mana kita dikecewakan. Jadi jangan kita kecewa banyak kali,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan gagasan tafahum siyasi yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak harus ditafsirkan sebagai kebergantungan UMNO kepada parti lain.

“Cukup setakat persefahaman. Jangan kita terbawa-bawa sangat sampai kita lupa bahawa membina kekuatan sendiri itu adalah keutamaan kita,” katanya.

Mohamad berkata, strategi menghadapi PRU16 perlu ditentukan presiden dan pucuk pimpinan berdasarkan keadaan setiap negeri kerana tiada satu formula yang sesuai digunakan untuk semua kawasan.

“Tak ada satu one size fits all. Tiada satu formula yang boleh kita guna pakai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here