Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan pergulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Perpecahan politik Melayu bukan sekadar melemahkan kekuatan dalaman bangsa itu, tetapi memberi kesan ke atas kedudukan Semenanjung dalam menentukan hala tuju pemerintahan Malaysia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, keadaan itu perlu dipandang serius kerana kestabilan politik Melayu turut mempunyai kaitan dengan keyakinan Sabah dan Sarawak terhadap kepimpinan dari Semenanjung.

“Jika kita tidak boleh mengurus politik Melayu dengan baik, bagaimana kita akan meyakinkan rakan kita di Sabah dan Sarawak untuk terus yakin dengan kita bagi menerajui pemerintahan Malaysia?,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur, petang ini.

Menurut beliau, sejak pembentukan Malaysia, kuasa politik Melayu di Semenanjung menjadi antara tunjang utama dalam mengemudi pemerintahan, pembangunan dan agenda masa depan negara dengan sokongan Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu boleh berubah sekiranya politik Melayu terus berpecah dan gagal menunjukkan kekuatan sebagai kuasa politik yang berwibawa.

“Mereka sudah pasti berhak bertanya. Apakah masih mesti orang Semenanjung yang terus diberikan kelebihan dalam memandu dan memacu Malaysia?,” ujarnya.

Khaled berkata, kebimbangan itu semakin relevan apabila Sabah dan Sarawak kini dilihat lebih stabil, bersatu dan menunjukkan prestasi yang baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, penyatuan Melayu yang diperjuangkan UMNO bukan bertujuan mengembalikan kekuasaan demi kepentingan kelompok semata-mata, sebaliknya untuk memastikan kekuatan politik Melayu terus mendapat kepercayaan dalam kerangka Malaysia yang majmuk.

“Perpecahan Melayu akan mengurangkan rasa hormat dan rasa yakin dalam kalangan rakan politik kita di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Khaled berkata, UMNO melihat penyatuan Melayu sebagai jalan untuk mengembalikan kekuatan politik bangsa itu selepas kewujudan pelbagai parti Melayu tidak menghasilkan kedudukan politik yang lebih kukuh.

“Hari ini, di sebalik kebanjiran pelbagai parti politik Melayu, kuasa dan kedudukan politik orang Melayu tidak semakin baik. Malah semua kebanjiran ini melemahkan kedudukan politik Melayu,” tegas beliau.

Jelasnya, usaha itu perlu diteruskan menerusi pendekatan yang merentas usia dan ideologi politik, termasuk kesediaan memadam kekhilafan lalu demi kepentingan bangsa dan negara.

“Jika kita berpecah, yang akan menimpa bangsa kita tidak lain tidak bukan, hanyalah kerugian, kehilangan dan kehancuran,” katanya lagi.

Khaled turut menegaskan UMNO perlu menguasai politik Malaysia bagi membolehkan parti itu memainkan peranan lebih besar dalam mempertahankan negara daripada pelbagai bentuk ancaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here