KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan mengambil langkah ‘tebuk atap’ untuk mengubah kerajaan hanya melalui pertukaran Perdana Menteri, sebaliknya akan terus mempertahankan kestabilan politik sehingga mandat rakyat berakhir.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu berasaskan perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menjadi asas kepada kerajaan ketika ini.
“Selagi mana kita belum sampai tempoh ataupun pilihan rakyat, kita tidak akan menebuk atap atau mengubah kerajaan hanya dengan pertukaran Perdana Menteri.
“Itulah maksud ‘tebuk atap’ dan kita memikirkan soal kestabilan politik yang perlu kita pertahankan,” katanya kepada media selepas menyantuni warga media di Laman Media WTC sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini.
Asyraf berkata, kestabilan kerajaan perlu dipertahankan sehingga tiba masanya rakyat membuat keputusan melalui pilihan raya.
Katanya, pendirian itu juga memberi ruang kepada rakyat untuk menentukan sendiri kerajaan yang mahu dipilih apabila tiba waktunya.
Beliau berkata, UMNO tidak akan melakukan perubahan kerajaan melalui jalan belakang kerana parti itu mahu menghormati proses demokrasi dan mandat rakyat.
Menurutnya, sebarang perubahan terhadap kerajaan perlu dilakukan melalui proses yang sah dan bukan menerusi tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara. -MalaysiaGazette
















