KUALA LUMPUR – Dua lelaki kini diburu polis selepas melarikan diri daripada diperiksa anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 3.25 petang, anggota MPV sedang menjalankan rondaan cuba melakukan pemeriksaan dan mendapatkan dokumen pengenalan diri kedua-dua lelaki itu.
Bagaimanapun kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan kenderaan itu menuju ke arah Kajang, kata Ketua Polis Kajang, Asistent Komisioner Naazron Abd Yusof.
“Semasa melarikan diri, kenderaan itu telah melanggar sebuah Perodua Ativa dan kemudiannya melanggar kenderaan MPV polis.
“Keadanan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan namun tiada orang awam atau anggota polis yang cedera dalam kejadian ini.
“Polis sedang menjalankan usaha mengenal pasti dan mengesan suspek, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dan kamera papan pemuka ( dashcam ) serta keterangan saksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Azlan Zulkiflee di talian 017-316 1138 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















