KUALA LUMPUR – UMNO memberi isyarat bahawa rundingan secara terus dengan Pas mungkin menjadi pendekatan yang lebih diberi perhatian bagi menghadapi pilihan raya akan datang berbanding perbincangan dalam kerangka Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dapat dilihat daripada pandangan yang dibawa perwakilan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2026.
“Kita seperti mana dalam pilihan raya-pilihan raya yang lepas, kita memang mengadakan perundingan dengan Pas dan juga PN.
“Tetapi kalau kita lihat daripada perbahasan-perbahasan dan daripada perwakilan-perwakilan, wujud kecenderungan untuk kita memfokuskan kepada perundingan dengan kepimpinan Pas berbanding dengan melihat dalam konteks PN itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas keluar menyantuni warga media di Laman Media WTC sempena Perhimpunan Agung UMNO, di sini.
Asyraf Wajdi berkata, pandangan yang disuarakan perwakilan akan menjadi antara perkara yang dipertimbangkan kepimpinan parti ketika menentukan hala tuju rundingan.
Katanya, UMNO mempunyai pengalaman mengadakan perundingan dengan Pas dan PN dalam pilihan raya terdahulu, namun perkembangan pada PAU kali ini menunjukkan wujud kecenderungan supaya hubungan rundingan dengan kepimpinan Pas diberi tumpuan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu belum merupakan keputusan muktamad parti kerana proses rundingan pilihan raya masih belum bermula.
Menurutnya, kepimpinan UMNO akan menilai pandangan perwakilan serta perkembangan politik semasa sebelum menentukan bentuk kerjasama yang sesuai.
Beliau berkata, keputusan akhir mengenai rundingan dan kerjasama pilihan raya tetap akan dibuat oleh kepimpinan parti. -MalaysiaGazette
















