KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran menyerahkan semula mandat kepada rakyat bagi membolehkan mereka menentukan kerajaan yang benar-benar mempunyai kekuatan dan kestabilan untuk mentadbir negara.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keadaan politik semasa yang disifatkannya tidak stabil boleh memberi kesan lebih besar terhadap ekonomi sekiranya berterusan.
Menurutnya, kerajaan perlu mewujudkan kestabilan politik bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus membawa modal ke Malaysia.
“Ini masa yang sesuai. Kalau kita melengahkan lagi, saya yakin dengan keadaan politik yang tidak stabil sekarang ini, dari segi ekonomi akan jatuh lebih besar lagi.
“Kita perlukan politik yang mantap hari ini di Malaysia supaya memberi keyakinan kepada pelabur untuk mereka melabur di negara kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) di sini, hari ini.
Ahmad Razif turut menyifatkan Kerajaan Madani dan Kerajaan Perpaduan tidak wajar mendakwa mereka sebagai kerajaan yang kukuh apabila parti-parti yang membentuk kerajaan dilihat tidak cukup kemas dan kuat.
Katanya, tuntutan dan kepentingan berbeza antara parti boleh menyebabkan kerajaan menjadi semakin rapuh.
“Jangan Kerajaan Madani dan Perpaduan hari ini mendabik dada bahawa mereka sebuah kerajaan kuat.
“Kita melihat parti-parti yang berada dalam Kerajaan Madani dan Perpaduan sekarang tidak nampak kemas, tidak nampak kuat, menyebabkan mereka saling menuntut. Bila tuntutan ini berlaku, kerajaan itu semakin rapuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pilihan terbaik ialah mengembalikan kuasa kepada rakyat melalui pilihan raya.
“The best solution yang perlu dibuat oleh Perdana Menteri ialah serah balik kepada rakyat. Serah balik mandat kepada rakyat dan rakyat akan tentukan.
“Sudah tentu keputusan itu nanti akan memantapkan lagi pentadbiran dan negara kita, terutama dari aspek ekonomi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















