Bekas Menteri Besar Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyelesaikan isu berkaitan pengampunan diraja Datuk Seri Najib Razak kerana ia mempunyai implikasi besar terhadap keyakinan terhadap sistem keadilan dan pentadbiran negara.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia tidak seharusnya dilihat sekadar membabitkan seorang bekas Perdana Menteri, sebaliknya turut mempunyai kesan terhadap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Menurutnya, aspek keadilan, ketelusan serta keyakinan terhadap sistem pentadbiran kerajaan antara perkara yang akan dinilai apabila isu berkenaan terus menjadi perhatian.

“Saya rasa ini salah satu lagi yang perlu kerajaan selesaikan sebab isunya hari ini implikasinya sangat besar, bukan hanya kepada negara kita malah pada peringkat antarabangsa.

“Mereka melihat dari segi keadilan, kepatuhan dan keyakinan kepada pentadbiran kerajaan kita dalam soal ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026), di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, terdapat juga persoalan mengapa perkara sama tidak dipertimbangkan terhadap Najib memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menerima pengampunan penuh.

Katanya, jasa dan sumbangan seseorang pemimpin terdahulu juga perlu diambil kira dalam mempertimbangkan sesuatu keputusan.

“Tak ada sebab untuk tidak dibuat atau dilakukan perkara yang sama kepada bekas Perdana Menteri kita.

“Perkara tentang jasa, perkara tentang komitmen yang pernah diberi sebelum ini perlu diambil kira,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif menegaskan kedudukan Najib sebagai bekas Perdana Menteri tidak wajar disamakan dengan individu biasa kerana sebarang keputusan berkaitan beliau mempunyai implikasi yang lebih luas.

“Kita tak boleh bandingkan apa yang berlaku kepada Datuk Seri Najib dengan orang biasa. Ini bekas Perdana Menteri dan apabila dibuat sesuatu keputusan, implikasinya sangat besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here