Ketua UMNO Bahagian Selayang, Dato' Hasnal Rezua Merican bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO mahu penjelasan lebih jelas berhubung penangguhan pertimbangan permohonan pengampunan diraja Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya mengenai pihak yang mengusulkan supaya perkara itu ditangguhkan.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong difahamkan berkenan supaya perkara berkenaan ditangguhkan.

Namun beliau mempersoalkan sama ada penangguhan itu dibuat atas permintaan pihak lain atau atas kehendak baginda sendiri.

Katanya, perkara itu penting diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan terhadap proses yang berlaku.

“Sebenarnya Yang di-Pertuan Agong bukan tidak mengampunkan Datuk Seri Najib. Baginda menangguhkan pengampunan Datuk Seri Najib ke tarikh yang lain.

“Tidak ada keputusan dibuat sama ada baginda perkenan atau tidak perkenan. Belum dibuat, cuma ditangguhkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) di sini, hari ini.

Hasnal berkata, sebagai warga UMNO, beliau mengakui sedikit kecewa apabila perkara berkaitan permohonan pengampunan Najib yang sebelum ini disenaraikan untuk dibincangkan tidak dapat diputuskan seperti yang diharapkan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menghormati sepenuhnya kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan.

“Kalau Baginda Tuanku sendiri atas perkenan diri baginda sendiri meminta supaya perkara ini tidak didengar pada hari tersebut dan ditangguhkan itu, kita akur 100 peratus kerana baginda adalah the sole power – satu-satunya kuasa yang boleh memberi pengampunan,” katanya.

Persoalan yang dibangkitkan, katanya, ialah mengenai maksud sebenar kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong ‘berkenan untuk menangguhkan’ perkara berkenaan.

“Jika benar Tuanku yang berbuat demikian, saya rasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri kena perbetul atau perjelaskan kenyataan dia dengan mengatakan atas permintaan baginda sendiri perkara ini ditangguhkan.

“Sebab apabila dikatakan baginda perkenan untuk menangguhkan, seolah-olah ada permintaan untuk penangguhan itu dibuat dan baginda perkenan,” katanya.

Lantaran itu, Hasnal berkata, jika terdapat pihak lain yang mengemukakan cadangan penangguhan, penjelasan mengenainya wajar diberikan.

“Adakah baginda ada permintaan? Adakah diusulkan supaya satu penangguhan dibuat dan baginda perkenan? Kita nak tahu siapa yang mengusulkan, kalau betul ada orang lain yang mengusulkan,” katanya.

Katanya lagi, penjelasan sedemikian penting bagi memastikan tidak timbul pelbagai tafsiran terhadap proses yang sedang berlangsung.

“Kalau bukan itu keadaannya, kita mahu tahu siapa yang mengusulkan supaya ia ditangguhkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here