KUALA LUMPUR – Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) disifatkan sebagai pembentangan agenda sebuah parti yang sudah bersedia untuk kembali menerajui kerajaan.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, gagasan ‘Malaysia Biru’ yang diketengahkan Zahid menerusi lapan terasnya memperlihatkan UMNO bukan sekadar mahu bercakap mengenai politik, sebaliknya menawarkan hala tuju yang jelas kepada rakyat.
Menurut beliau, ucapan Zahid kali ini jauh daripada menjadi medan membalas dendam atau melampiaskan kemarahan susulan perkembangan politik yang berlaku sebelum ini.
“Saya amat bangga dengan ucapan yang dibuat Datuk Seri Presiden. Sebelum datang ke PAU2026 ini, saya mempunyai pengharapan supaya ia tidak menjadi medan membalas dendam apa yang berlaku di MITC Melaka sebulan lepas dalam Kongres PKR.
“Saya tidak mahu PAU menjadi medan berbalas-balas kutukan dan cercaan serta tempat kita melampiaskan amarah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada PAU2026 di sini, hari ini.
Sebaliknya, Hasnal berkata, Zahid berjaya menggunakan platform PAU untuk membentangkan agenda yang menurutnya lebih jelas dan bersifat tawaran kepada rakyat.
Beliau berkata, perkembangan itu menyebabkan ada pihak melihat pembentangan Zahid seolah-olah ucapan seorang Perdana Menteri yang sedang menunggu masa untuk mengambil alih pentadbiran.
“Saya rasa ini adalah satu yang sangat menarik. Betul kata sesetengah orang yang melihat ini sebagai satu pembentangan yang dibuat oleh satu kerajaan ataupun Perdana Menteri in waiting.
“Ia lebih mencerminkan satu pihak yang berhajat untuk menjadi kerajaan selepas ini dan mempunyai agenda yang jelas untuk rakyat hadapi,” katanya.
Hasnal berkata, pendekatan tersebut berpotensi menarik perhatian golongan muda serta pengundi atas pagar yang selama ini menilai tawaran setiap parti berdasarkan kemampuan menyediakan penyelesaian kepada masalah negara.
Jelasnya, perbandingan antara perkembangan di MITC dan PAU juga memberi gambaran berbeza mengenai pendekatan UMNO dalam menghadapi politik semasa.
“Ucapan Datuk Seri Presiden semalam bagi saya adalah satu benda yang boleh menawan imaginasi anak muda, mereka yang bukan ahli parti dan mereka yang berada di atas pagar,” katanya.
Katanya lagi, UMNO kini perlu mengisi ruang politik yang wujud dengan agenda yang mampu diterjemahkan kepada dasar serta tawaran nyata kepada rakyat.
“Bagi saya ucapan itu bertepatan, kena pada masa di waktu terdapat kelompangan-kelompangan dalam politik tanah air ini yang perlu diisi dengan agenda dan juga hala tuju,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















