Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan pergulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Sokongan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat dihargai UMNO, dengan parti itu memberi jaminan akan terus bersama pasukan keselamatan dalam memperkukuh pertahanan dan ketahanan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, peranan parti itu dalam mempertahankan negara tidak hanya bergantung kepada kedudukannya dalam kerajaan, sebaliknya turut melibatkan usaha membina ketahanan rakyat.

“UMNO memberi jaminan kepada ATM, bahawa UMNO akan bersama-sama membantu membina ketahanan rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur, petang ini.

Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, penguasaan politik penting bagi membolehkan UMNO melaksanakan tanggungjawab patriotik dalam mempertahankan negara daripada pelbagai bentuk ancaman.

“Atas sebab itulah, UMNO perlu menguasai politik Malaysia kerana hanya dengan sedemikian, kita dapat melakukan tugas patriotik kita untuk mempertahankan negara daripada segala bentuk dan kerencaman ancaman,” tegas beliau.

Menurutnya, cabaran keselamatan negara kini semakin kompleks apabila ancaman tidak lagi datang dalam bentuk konvensional, sebaliknya turut melibatkan ancaman hibrid.

Katanya, antara yang semakin membimbangkan ialah usaha mempengaruhi pemikiran rakyat menerusi teknologi, maklumat dan operasi psikologi.

“Maknanya telah ada usaha untuk menggunakan kecanggihan kecerdikan buatan secara sistematik untuk menentukan cara masyarakat kita berfikir dan bertindak.

“Dengan tujuan untuk mewujudkan ketidakstabilan sosial, mencetuskan polarisasi, perpecahan dan ketidakharmonian dalam masyarakat,” ujarnya.

Khaled berkata, kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan bersama penyebaran maklumat palsu, propaganda digital, manipulasi algoritma dan operasi psikologi bagi mempengaruhi masyarakat.

Beliau berkata, ancaman itu amat berbahaya kerana bukan sahaja boleh menggugat kestabilan sosial, malah berupaya menjejaskan identiti Melayu serta mencetuskan perbalahan agama dan kaum.

“Perang kognitif ini adalah sangat berbahaya. Ia boleh digunakan ke tahap untuk melunturkan identiti kita sebagai bangsa Melayu dan mencetuskan perbalahan agama dan kaum yang serius,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Khaled berkata, Kementerian Pertahanan sedang berusaha membangunkan strategi bersepadu untuk menghadapi ancaman berkenaan dengan memberi tumpuan kepada pembinaan ketahanan rakyat.

Katanya, ketahanan rakyat penting bagi memastikan masyarakat tidak mudah dipengaruhi propaganda yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Kita beri jaminan kepada semua bahawa UMNO akan mengamalkan politik matang. Politik yang rasional. Politik yang tidak bersifat emosional dan yang tidak ekstrem,” jelasnya.

Beliau berkata, setiap pemimpin UMNO mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan perlu membantu memastikan rakyat kekal bersatu serta tidak mudah dipengaruhi unsur yang boleh menggugat keharmonian negara.

“Paling penting, ketahanan rakyat itu akhirnya adalah tentang patriotisme dan kesediaan kita untuk bersama-sama membantu negara apabila diperlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here