KUALA LUMPUR – Malaysia – Iran meneroka usaha memperluas perdagangan dan pelaburan khususnya dalam sektor tenaga, pertanian, minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi dan pendidikan tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan beliau bersama Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian dalam mesyuarat dua hala di New Delhi, India, pagi ini.

“Usai mesyuarat dua hala, saya dan Dr Masoud sempat berbicara secara empat mata.

“Insya-Allah Malaysia sedia menterjemahkan hubungan persahabatan ini kepada kerjasama yang lebih bermakna dan berterusan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Anwar, dalam pertemuan yang sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap konflik yang berlarutan serta ketegangan yang terus memuncak di Asia Barat.

Tegasnya, Malaysia menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh memburukkan keadaan, kembali ke meja rundingan serta mengutamakan dialog dan diplomasi bagi menyelesaikan pertikaian secara aman.

“Malaysia berpendirian bahawa kebebasan dan keselamatan laluan maritim melalui Selat Hormuz perlu terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.

Tambahnya, sebarang gangguan akan membawa kesan besar terhadap keselamatan tenaga, perdagangan dan ekonomi dunia. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here