KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu membuat keputusan berani berhubung sistem percukaian negara bagi memastikan sumber pendapatan kerajaan dapat diperkukuh serta ketirisan dan ketidakcekapan dapat ditangani.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kekal konsisten dengan pendirian supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dipertimbangkan semula kerana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mempunyai kelemahan tersendiri.
Menurutnya, kesan berganda atau cascading effect daripada SST menyebabkan beban yang ditanggung rakyat boleh melebihi kadar kenaikan cukai yang diumumkan.
“Saya rasa kalau konsisten, kita kena buat satu keputusan yang berani. Kalau tidak, negara kita masih lagi berdolak-dalik, tidak buat satu keputusan.
“Saya dah kata, sama ada kita kembali kepada GST ataupun teruskan SST. SST memang kita tahu kelemahan dia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Ka Siong berkata, isu berkenaan perlu dilihat demi kepentingan rakyat, selain mengambil kira keperluan negara meningkatkan hasil bagi membiayai pembangunan.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pelaksanaan e-Invois yang menurutnya memberi kesan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, sebarang perubahan dasar perlu dirancang dengan baik supaya tidak menambahkan kesengsaraan golongan peniaga yang sebelum ini sudah mengambil langkah mematuhi ketetapan kerajaan. – MalaysiaGazette















