Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy bercakap pada sesi Taklimat dan Penerangan Akta Sabotaj Ekonomi Negara (ASEN) di ibu pejabat PUTRA, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Cadangan menggubal Akta Sabotaj Ekonomi Negara (ASEN) perlu memberi tumpuan kepada golongan elit yang mempunyai kuasa besar dalam menentukan hala tuju aset, dana dan kepentingan strategik negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy berkata, akta itu tidak seharusnya menjadi instrumen penguatkuasaan yang menyasarkan penjawat awam bawahan sahaja.

“Sebaliknya ia perlu dirangka khusus bagi menangani salah guna kuasa pada peringkat tertinggi. Sasaran akta ini adalah untuk menjerat jerung-jerung besar sekiranya berlaku salah laku.

“Akta ini khusus kepada golongan elit yang menggunakan mandat dan amanah diberikan rakyat kepada mereka untuk menyeleweng dana negara,” katanya pada Taklimat dan Penerangan ASEN di ibu pejabat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di sini semalam.

Menurutnya, antara golongan yang wajar tertakluk kepada akta berkenaan ialah Perdana Menteri, menteri, ahli Parlimen, penjawat awam kanan gred turus.

“Turut terpakai dalam akta ini ialah pengarah dan ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” katanya.

Waytha Moorthy berkata, keperluan terhadap kerangka undang-undang sedemikian semakin penting apabila negara berdepan kes membabitkan dana awam, aset strategik dan sumber negara dalam nilai yang besar.

“Pengalaman daripada beberapa kes berprofil tinggi menunjukkan terdapat keperluan untuk memberikan takrifan lebih jelas terhadap perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai sabotaj ekonomi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here