Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menyatakan seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja kekal menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) ketika sidang media di Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIMAN RIZAL, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR –  Seramai 8.5 juta pekerja atau 87.6 peratus memilih untuk terus mencarum di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam), membuktikan semakin ramai menyedari kepentingan perlindungan keselamatan sosial di luar waktu bekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, angka itu menunjukkan majoriti pekerja melihat perlindungan berkenaan sebagai keperluan bagi menghadapi risiko kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Menurut beliau, LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan pada 1 Jun lalu memperluaskan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, termasuk di luar waktu bekerja.

“Dalam setahun, seorang pekerja sektor formal di Malaysia hanya menghabiskan kira-kira 33 peratus untuk bekerja, termasuk tempoh perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja.

“Ini bermakna baki 67 peratus atau kira-kira 244 hari dalam setahun, mereka tidak dilindungi sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu bekerja,” katanya dalam sidang media di Menara Perkeso di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menyatakan seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja kekal menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) ketika sidang media di Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIMAN RIZAL, 09 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata, pelaksanaan skim itu mula menunjukkan keberkesanan apabila PERKESO menerima 6,330 tuntutan dalam tempoh tiga bulan pertama, dari 1 Jun hingga 31 Ogos lalu.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, bayaran faedah yang disalurkan mencecah RM9.97 juta, merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, ganti belanja perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan serta alat pemulihan dan implan.

“Purata kira-kira 69 kes sehari atau tiga kes setiap jam diterima PERKESO,” ujarnya.

Mohammed Azman berkata, terdapat juga kes membabitkan individu yang memilih untuk tidak menyertai skim itu tetapi mengemukakan tuntutan selepas ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.

Jelasnya, perkembangan itu menunjukkan risiko kemalangan di luar waktu bekerja bukan sekadar kemungkinan, sebaliknya telah menyebabkan ribuan pekerja memerlukan sokongan perlindungan sosial.

“Perlindungan sosial perlu mengikuti pekerja, bukan pekerja yang menyesuaikan diri dengan perlindungan.

“Jika hanya terhad kepada lokasi waktu bekerja, perlindungan itu tidak akan benar-benar menyeluruh,” tegasnya.

Beliau berkata, pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai skim berkenaan kini boleh menyertai semula LINDUNG 24 Jam pada bila-bila masa secara dalam talian, tanpa had tempoh untuk mencarum semula, bermula 2 September lalu.

Bagi pekerja yang memilih untuk kekal dalam skim pula, mereka akan terus dilindungi selagi memenuhi syarat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), selaras dengan prinsip ‘Once In, Always In’. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here