Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

 

KUALA LUMPUR – Pahang, Kelantan dan Terengganu merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM61.4 bilion bagi tempoh 2021 hingga Jun 2026, melibatkan 1,746 projek yang dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pencapaian itu membuktikan potensi besar Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan kepada pelabur asing dan domestik.

Beliau berkata, MIDA akan terus mempergiat usaha mengetengahkan peluang pelaburan di wilayah berkenaan menerusi kerjasama strategik dengan kerajaan negeri serta lebih 10 agensi Kerajaan.

“Pelabur, syarikat tempatan dan agensi kerajaan yang hadir pada hari ini mencerminkan komitmen bersama untuk mengetengahkan dan merealisasikan peluang pelaburan serta memperkukuh ekosistem industri di Wilayah Pantai Timur.

“MIDA akan terus mempergiat usaha mengetengahkan peluang pelaburan di Pantai Timur, dengan sokongan berterusan agensi Kerajaan bagi merealisasikan minat dan hasrat pelaburan serta memastikan pembangunan di wilayah ini terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif dan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 bertemakan “Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur” di Kuantan hari ini.

Seminar anjuran MIDA itu menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat Bumiputera, syarikat mid-tier, pelabur, pemain industri, institusi kewangan dan agensi Kerajaan.

Menurut MIDA, antara fokus utama seminar ialah peranan East Coast Rail Link (ECRL) sebagai pemangkin pertumbuhan pelaburan di Wilayah Pantai Timur.

ECRL yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027 bakal meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan logistik serta akses kepada pasaran dan rantaian bekalan, sekali gus membuka peluang baharu sepanjang koridor berkenaan.

Peluang itu termasuk pembangunan hab logistik, pembangunan berorientasikan transit dan kargo serta projek industri dan ekonomi berkaitan.

Dalam pada itu, MIDA turut menegaskan kepentingan memastikan pelaburan asing dan domestik memberi limpahan kepada ekosistem tempatan, termasuk peluang dalam bidang pembekalan, logistik, penyelenggaraan, perkhidmatan teknikal, pemprosesan dan komponen.

Menerusi sesi Klinik Perniagaan, lebih 10 agensi Kerajaan menyediakan akses terus kepada komuniti perniagaan dan pelabur, dengan lebih 70 syarikat mendapatkan khidmat fasilitasi berkaitan kelulusan, operasi, utiliti, tenaga kerja, percukaian dan pelaksanaan projek.

MIDA turut mengetengahkan inisiatif #investlokal bagi memperkukuh pelaburan domestik dan mengekalkan bakat tempatan supaya masyarakat di Pantai Timur terus mendapat peluang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi wilayah berkenaan.

Selain itu, dua syarikat tempatan iaitu FDI Group dari Pahang dan Upstream Downstream Process & Services Sdn Bhd dari Terengganu diberi pengiktirafan menerusi sesi Apresiasi dan Showcase Pra-Penyenaraian sebagai usaha menggalakkan PKS serta syarikat mid-tier meneroka peluang penyenaraian awam (IPO).

MIDA berkata, kerjasama berterusan dengan kerajaan negeri dan agensi strategik akan diperkukuh bagi memastikan Pantai Timur berkembang sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing, inklusif dan bernilai tinggi, di samping memperluas manfaat pertumbuhan kepada syarikat tempatan serta usahawan bumiputera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here