KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat siasatan menyeluruh serta mengemukakan laporan rasmi kepada umum berhubung pendedahan syarikat penyelidikan kecerdasan buatan (AI), Anthropic.
Ketua Penerangannya Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pendedahan itu membabitkan dakwaan operasi pengaruh AI berskala besar yang menggunakan data banci, pendaftaran pengundi dan pelbagai akaun media sosial palsu bagi memanipulasi persepsi politik tanah air.
Menurutnya, perkara itu amat membimbangkan kerana ia turut melibatkan manipulasi isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) berdasarkan profil pengundi di seluruh 222 kawasan Parlimen.
“Bentuk manipulasi sedemikian boleh mewujudkan persepsi palsu seolah-olah sesuatu pandangan mendapat sokongan rakyat yang luas sedangkan ia hanyalah ‘khayalan’ yang dicipta melalui platform AI.
“Tindakan memanipulasi isu 3R seperti ini sangat bahaya kerana boleh mencetuskan ancaman keselamatan yang tidak sepatutnya berlaku jika tidak dikawal dari awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Nadzir turut melahirkan kebimbangan berhubung penyebaran kandungan yang didakwa mengandungi tuduhan palsu terhadap individu tertentu.
“Penyebaran maklumat tidak benar melalui rangkaian akaun palsu boleh bertukar menjadi fitnah besar yang menjejaskan reputasi serta mengelirukan masyarakat.
“Saya berharap MCMC agar tidak ‘melepaskan batuk di tangga’ dengan hanya menafikan penglibatan pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu menyiasat secara mendalam pihak di sebalik kempen berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, MCMC tidak harus sekadar menafikan penglibatan mereka tetapi pada masa sama meninggalkan seribu satu persoalan kepada rakyat mengenai dakwaan serius yang dibangkitkan.
“Jika bukan kerajaan yang terlibat secara langsung, ia wajar disiasat siapakah yang menjadi dalangnya.
“Adakah begitu mudah data negara dimanipulasi melalui platform AI demi kepentingan pihak tertentu?,” katanya.
Terdahulu, laporan Anthropic bertajuk Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026 mendedahkan percubaan penyalahgunaan model AI Claude bagi operasi pengaruh dan aktiviti siber.
Antara dikesan ialah operasi manipulasi pilihan raya di Malaysia yang dikaitkan dengan syarikat teknologi dari Turkiye, BBS Bilisim Teknolojileri, menggunakan akaun palsu serta portal berita rekaan.
Ekoran itu, MCMC menegaskan tindakan susulan mengikut bidang kuasa undang-undang akan diambil serta-merta selepas bukti serta fakta sebenar diperoleh termasuk bekerjasama dengan agensi berkuasa yang lain. -MalaysiaGazette
















