KUALA LUMPUR – Sebarang persefahaman politik yang ingin dibentuk perlu berasaskan kepercayaan, kesetiaan dan keikhlasan antara pihak yang terlibat, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut beliau, perkara itu penting bagi memastikan perpaduan politik yang sedang dibangunkan tidak kembali berdepan masalah sama seperti sebelum ini.
“Sekarang ini kita kena ingat bahawa apa juga persefahaman politik yang nak dilakukan mesti berasaskan kepercayaan dan kesetiaan serta keikhlasan.
“Seperti mana dibahaskan dan Presiden pun ulang kali menyebutkan, jangan pisang berbuah dua kali. Jangan ada pihak ketiga yang akhirnya meleraikan perpaduan yang cuba nak dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, ucapan penggulungan Ahmad Zahid turut menjadi penutup kepada segala perkara yang dibahaskan sepanjang perhimpunan berkenaan.
Katanya, rata-rata perwakilan berpuas hati kerana hala tuju dan pendirian parti yang disampaikan Presiden UMNO adalah jelas.
“Saya rasa penutup kepada segala apa yang dibahaskan dan saya kira rata-rata perwakilan puas hati kerana hala tujunya jelas, pendiriannya jelas dan saya kira apa yang disebutkan oleh Presiden tadi melengkapkan Perhimpunan Agung UMNO 2026,” katanya. – MalaysiaGazette
















