KUALA LUMPUR – Tiada jaminan kerjasama politik antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) kekal sekiranya prinsip dan perjuangan parti terus diketepikan, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail.
Beliau berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai mesej lebih jelas berbanding ucapan dasar sebelum ini.
“Tidak semestinya kerjasama antara dua gabungan ini boleh sampai menggadaikan prinsip dan perjuangan.
“Prinsip UMNO jelas, pertama menjaga Perlembagaan negara dan seterusnya menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Fariz berkata, jika UMNO terus ditekan atau dianggap sekadar rakan politik yang boleh diambil kesempatan, parti itu mempunyai hak untuk menilai semula kedudukannya.
Beliau berkata, terdapat dua pilihan yang boleh berlaku sekiranya sokongan terhadap kerajaan tidak lagi mempunyai asas yang kukuh.
“Pertama, serahkan kembali mandat kepada rakyat dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal.
“Kedua, tunggu sidang Parlimen akan datang dan lakukan undi tidak percaya bagi melihat siapa yang mendapat sokongan untuk diangkat sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia tidak bermaksud UMNO mahu menarik sokongan secara tergesa-gesa.
“Sebaliknya ia merupakan isyarat bahawa UMNO tidak boleh selama-lamanya berdiam diri jika prinsipnya terus dipersoalkan,” katanya.
Fariz juga mengingatkan kerajaan yang terbentuk selepas PRU15 adalah hasil gabungan sokongan 82 ahli Parlimen PH dan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), sekali gus membentuk majoriti ketika itu.
“Kalau BN menarik sokongan, majoriti untuk membentuk kerajaan tidak lagi sama. Tetapi kita bukan bercakap soal menarik sokongan hari ini.
“Yang kita katakan ialah jangan ambil kesempatan atas kebaikan kami. Kalau ada kesalahan, adililah kami sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau turut menolak kecenderungan melabel keseluruhan UMNO berdasarkan tindakan individu tertentu.
“Kalau ada individu melakukan kesalahan, individu itu yang perlu diambil tindakan, bukan keseluruhan parti dilabel sedemikian,” katanya.
Menurut Fariz, kenyataan Presiden UMNO itu menunjukkan tahap kesabaran parti kini berada pada titik yang semakin kritikal.
“Pada hemat saya, memang sudah sampai ke penghujung sabar,” katanya.
Selain itu, katanya, kenyataan Ahmad Zahid mengenai “anak murid” dan “guru” bukan sekadar sindiran politik, sebaliknya dilihat sebagai mesej bahawa UMNO tidak mahu terus dilihat sebagai parti yang hanya mengikut telunjuk pihak lain.
“Selama ini mungkin ada pihak yang melabel pemimpin kita sebagai anak murid kepada guru tertentu.
“Tetapi menerusi ucapan penggulungan itu, Presiden UMNO mengambil peluang seluas-luasnya untuk menjelaskan kepada ahli parti dan rakyat bahawa beliau bukan anak murid kepada guru itu,” katanya.
Menurut Fariz, penjelasan tersebut penting kerana terdapat keresahan dalam kalangan akar umbi UMNO terhadap beberapa perkembangan politik semasa, khususnya apabila kepentingan Melayu dan Islam dilihat semakin dipersoalkan.
Katanya, ungkapan Presiden UMNO mengenai “rumah ini ada tuannya” juga mempunyai mesej tersendiri kepada ahli parti.
“Siapa tuan rumah? Ahli parti. Ahli di bawah sedang berada dalam keadaan keresahan apabila mereka melihat kepentingan Melayu dan Islam mula dipersoalkan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya perkara itu termasuk beberapa perkembangan di negeri yang menyaksikan titah berkaitan isu tertentu mula disanggah atau dipertikaikan.
“Ini yang menjadi keresahan ahli parti. Apabila kuasa dan kepentingan Melayu-Islam mula dipertikaikan, mereka mahu tahu di mana pendirian UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















