KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat menggariskan ‘roadmap’ yang jelas mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) dan persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu turut memperjelaskan kedudukan BN dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini serta hala tuju parti selepas ini.
“Saya fikir Presiden parti telah sekali lagi menggariskan dengan jelas tentang di mana Barisan Nasional berada serta permulaan di mana dan bagaimana untuk menghadapi PRU ke-16.
“Dengan jelas beliau katakan tadi dan dari awal tahun 2022 menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan sekarang ini masih lagi Kerajaan Perpaduan, tetapi bagaimana kedudukan itu pada waktu ini dan selepas itu ke mana nak pergi PRU ke-16, saya fikir jelaslah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Mahdzir, penjelasan Ahmad Zahid itu bukan sahaja dapat difahami perwakilan yang menghadiri perhimpunan, malah masyarakat umum yang mengikuti ucapan berkenaan.
Katanya, perkara tersebut penting bagi memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kedudukan BN ketika ini serta arah tuju parti menuju PRU16.
“Saya fikir dia telah meletakkan satu roadmap yang jelas tentang kedudukan Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















