KUALA LUMPUR – UMNO mahu semua pihaknya menghormati resolusi yang dibuat di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 seperti mana parti itu menghormati untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal Parlimen.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana pemimpin UMNO sebagai menteri Kabinet sentiasa bersikap profesional walaupun terdapat perbezaan pendapat jemaah menteri di dalam kerajaan.
“Pendirian kita tidak menyanggah mana-mana susuk tubuh terutama Perdana Menteri kerana resolusi yang dibuat dalam dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati kerana kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini.
“Kita pun tidak tahu bila akhir penggal dan kita akan terus berada di dalamnya selama kami berada di dalamnya memang ada perbezaan pendapat.
“Tetapi kita adalah anggota Jemaah Menteri yang profesional dan kita mengambil pendirian perbezaan pendapat harus dihormati dan kami juga menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. – MalaysiaGazette

















