Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail bercakap pada media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Penyatuan Melayu-Islam antara UMNO dan Pas kini bukan lagi sekadar slogan politik apabila kedua-dua parti dilihat semakin terbuka untuk meneroka bentuk kerjasama baharu, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail.

Menurutnya, perkembangan itu selari dengan gagasan “Gelombang Biru” yang sebelum ini bermula di Johor sebelum disusuli Negeri Sembilan dan kini dilihat berpotensi diterjemahkan di Melaka.

Beliau berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga memberi isyarat jelas dengan mengarahkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh untuk bergerak ke seluruh pelosok negara bagi membawa kempen penyatuan Melayu-Islam bersama Pas.

“Bagi saya mudah. Kita sudah dengar ucapan penggulungan Presiden UMNO. Gelombang Biru bermula di Johor, disusuli Negeri Sembilan dan sekarang kita mahu terjemahkan sekali lagi di Melaka.

“Tidak perlu lagi timbul teka-teki sama ada gelombang itu biru cair atau biru pekat kerana fokus utama adalah penyatuan UMNO dan Pas serta kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang juga berkata, pendekatan itu bagaimanapun perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan tidak sehingga merugikan kedudukan sedia ada UMNO.

“Kalau kita sudah ada 21 kerusi, kekalkan 21 itu. Kalau ada ruang untuk berbincang mengenai baki kerusi, kita persilakan, tetapi jangan sampai merugikan atau melemahkan parti,” katanya.

Menurut Fariz, situasi politik di setiap negeri adalah berbeza dan tidak semestinya formula yang digunakan di Johor boleh diterapkan secara bulat-bulat di Melaka atau negeri lain.

“Lain padang, lain belalang. Di Johor mungkin Pas tidak bertanding dan ada rundingan. Di Negeri Sembilan pula wujud ruang dan peluang sehingga penyatuan itu diterjemahkan melalui kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan sama boleh diterokai di Melaka, sebelum perhatian dialihkan kepada negeri-negeri SG4 termasuk Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

“Setiap perkara perlu dibincangkan. Tiada perkara yang dibuat tanpa perbincangan.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan kedua-dua Presiden parti besar Melayu-Islam ini, satu formula boleh dicapai yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here