Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada wartawan selepas hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah menumpang kasih atau mengharapkan ihsan mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu bangkit dan memperkasakan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu katanya, UMNO masih mempunyai peranan dalam Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk mengurus negara dan memastikan kestabilan kerajaan.

“UMNO tak pernah menumpang kasih. UMNO tak pernah mengharapkan ihsan. Tidak ada mana-mana pihak pun yang mahu melihat UMNO dibangkitkan semula.

“Jadi, kita kena bingkas, bangun dan perkasakan parti untuk kita menghadapi pilihan raya ke-16, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mohamad berkata, pendirian UMNO untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan turut menjawab desakan pihak tertentu yang mahu parti itu keluar daripada kerajaan.

Katanya, pembentukan kerajaan bersama PH pada awalnya dibuat dengan sokongan 112 Ahli Parlimen bagi mengurus negara dan menstabilkan pentadbiran.

“Saya yakin Presiden tadi memberikan respons kepada banyak pengkritik yang kadang-kadang tak tahu hujung pangkal, meminta supaya UMNO keluar daripada kerajaan.

“Kalau benar-benar mereka mewakili parti mereka, Presiden telah pun minta supaya buat undi tidak percaya atau undi percaya di Parlimen kalau itu yang mereka mahukan,” katanya.

Mohamad berkata, UMNO tidak mahu perkara sedemikian berlaku kerana ia boleh membawa ketidakstabilan kepada negara.

“Janji kami, kami akan bersama sehingga hujung penggal. Itu janji kami, itu perjanjian kami semasa menubuhkan kerajaan ini secara bersama dahulu.

“Jadi kami pegang pada janji. Tapi terpulanglah kepada pihak-pihak yang berkenaan. Jika dirasakan UMNO tidak diperlukan lagi, maka keluarkan kamilah. Itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here