KUALA LUMPUR – UMNO perlu keluar daripada zon selesa dan memastikan seluruh jentera parti berada dalam keadaan siap siaga menghadapi fasa politik seterusnya, termasuk kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada bila-bila masa.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azman Azeez berkata, mesej itu jelas disampaikan Presiden UMNO menerusi ucapan penangguhannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 termasuklah apabila menyentuh soal pembubaran Parlimen dan PRU.
Katanya, perkara itu tidak seharusnya dilihat sekadar retorik politik, sebaliknya peringatan kepada seluruh jentera parti supaya bersedia lebih awal.
“Pilihan raya bukan hanya soal tarikh diumumkan, tetapi soal kesiapsiagaan organisasi, kekuatan akar umbi, calon, naratif dan keyakinan rakyat.
“Yang lebih penting, UMNO perlu datang kepada rakyat bukan sekadar dengan slogan, tetapi dengan tawaran yang jelas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Dalam ucapan penangguhan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menggesa supaya PRU-16 disegerakan.
Azman berkata, Agenda Malaysia Biru dan lapan ikhtiar yang dibawa Presiden perlu diterjemahkan kepada dasar serta penyelesaian sebenar kepada rakyat, sambil menegaskan UMNO tidak boleh menunggu pilihan raya diumumkan untuk mula bekerja.
“Bagi saya, mesej Presiden mudah, jangan tunggu pilihan raya untuk mula bekerja. Bersedia sekarang, kukuhkan parti sekarang dan bawa tawaran yang meyakinkan rakyat sekarang.
”PRU mungkin ditentukan oleh masa dan keadaan, tetapi kemenangan mesti dibina sebelum hari mengundi. Itu tanggungjawab kita sebagai generasi yang memimpin UMNO hari ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















