Logo Persatuan Hemofilia Malaysia. Ihsan Foto: Facebook HSM

KUALA LUMPUR – Pusat Rawatan Hemofilia kini hanya mampu memberikan bekalan faktor untuk maksimum dua minggu sahaja lagi.

Menurut kenyataan media Pertubuhan Hemofilia Malaysia (HSM), hal ini kerana mereka kerap menerima kunjungan pesakit yang sama hampir setiap minggu.

“Sebelum ini, penggunaan sistem perolehan baharu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam proses kemas kini dan ini secara tidak langsung mengganggu urusan pembaharuan kontrak pembekalan rawatan.

“Bagaimanapun, kuantiti bekalan didapati masih rendah selepas kontrak telah diperbaharui.

“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pengagihan bekalan yang berekuiti dan saksama dalam memberikan bekalan yang berterusan untuk semua pesakit,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai langkah proaktif, HSM turut menulis surat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk mengetengahkan kesulitan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai tender dan perolehan bekalan rawatan hemofilia. 

Hemofilia merupakan sejenis penyakit warisan yang sedia ada sejak seseorang itu dilahirkan dan ia berpunca daripada kekurangan faktor pembekuan darah.

Seorang bayi lelaki akan menghidap penyakit ini dalam setiap 10,000 kelahiran.

Jenis yang paling kerap dan mewakili 80 peratus daripada kes ini ialah Hemofilia A.

Hemofilia A adalah disebabkan kekurangan faktor pembekuan iaitu faktor VIII manakala 20 peratus pula meliputi Hemofilia B disebabkan kekurangan faktor IX.

Hemofilia adalah penyakit yang ada sejak dilahirkan. Ia tidak boleh berjangkit daripada seseorang. – MalaysiaGazette