KUALA LUMPUR – Seorang ketua penolong pengarah badan berkanun ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)kerana dipercayai turut menerima rasuah lebih RM146,000 daripada satu syarikat sebagai dorongan mendapatkan kerja-kerja bagi projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.
Perintah reman selama empat hari sehingga 1 Julai 2024 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, suspek yang berkhidmat di badan berkanun itu telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 10 malam tadi.
Katanya, suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada satu syarikat sebagai balasan bagi mendapat kontrak kerja membabitkan pembinaan sebuah lebuh raya.
Sementara itu, Majistret Nazira Adlin turut membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung reman empat suspek termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya bermula 29 Jun hingga 2 Julai 2024.
Pada Selasa lalu, SPRM telah menahan reman tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya termasuk seorang CEO selama empat hari selain turut menahan reman seorang lagi pegawai syarikat berkenaan selama tiga hari bermula Rabu lalu.
Kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat yang mengambil alih kerja-kerja di dua projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang masing-masing bernilai lebih RM1 bilion dan kira-kira RM670 juta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap seorang lagi suspek serta penyambungan reman terhadap keempat-empat suspek berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette