BEIJING – Dengan penggunaan transaksi mobil yang mencecah 86 peratus, semakin ramai kanak-kanak di China tidak lagi mengenali apakah itu duit, malahan tidak mahu menggunakan duit kertas.

Seorang cikgu memberitahu, dalam kelas darjah satu di sekolah rendah, lebih separuh daripada murid tidak pernah berjumpa duit kertas satu yuan (kira-kira RM0.65).

Malahan terdapat kanak-kanak berpendapat wang yang disimpan dalam telefon pintar tidak akan kehabisan tetapi hanya perlu mengimbas untuk mendapatkan wang.

Disebabkan mereka tidak lagi memahami betapa susahnya untuk memperoleh pendapatan dan wang, maka kanak-kanak dikhuatiri tidak akan menghargai wang yang ada.

China Press melaporkan, dalam satu kelas darjah satu yang mempunyai 40 murid di Wuhan, kebanyakan pelajar mengenali duit kertas 100 yuan (RM65) yang ditunjukkan cikgu, tetapi hanya separuh murid mengenali 10 yuan (RM6.5).

Apabila cikgu mengeluarkan 1 yuan (RM0.65), lebih separuh daripada murid tidak pernah melihat duit kertas itu.

Semakin ramai murid di China tidak mengenali duit kertas, malahan tidak tahu cara berbelanja menggunakan duit kertas di kedai kerana sudah biasa dengan transaksi mobil.

Seorang ayah bertanya anaknya bagaimana untuk membeli barang berharga 30 yuan jika dia mempunyai dua keping duit kertas 20 yuan.

Si anak di darjah satu menjawab boleh membayar dengan sekeping wang kertas 20 yuan dan mengoyakkan sekeping lagi wang kertas 20 yuan menjadi separuh untuk menjadikan jumlahnya 30 yuan.

Si ayah berkata, dia sangat terkejut dengan keadaan anaknya yang bukan sahaja tidak mengenali wang kertas, malahan tidak mengerti “tukar duit” dan “pulangkan baki”.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana selain menerima 100 yuan sebagai angpau semasa Tahun Baharu Cina, anaknya tidak pernah nampak duit kertas lain di rumah.

Seorang ibu pula mengadu anaknya pernah membeli 100 permainan kotak misteri kerana tidak sedar wang boleh kehabisan.

Apabila ditegur kerana memboroskan duit, anak sebaliknya berkata: “Kenapa duit boleh habis, bukan ke duit boleh  keluar dari telefon dengan mengimbas?” – MalaysiaGazette