KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengukuhkan lagi kerjasama bersama Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) menerusi program pembangunan kapasiti bersama peserta Program Top E-Commerce Merchant (TOP ECM) Awards 2024.

TOP ECM, satu program di bawah SIDEC bagi meraikan usahawan e-Dagang tempatan yang mempunyai ciri inovasi yang luar biasa dan jumlah pencapaian jualan serta pesanan yang tinggi.

Ia juga adalah anugerah berprestij untuk mengiktiraf peniaga e-dagang tempatan yang berjaya, kreatif dan inovatif.

Pada masa yang sama, usahawan yang mengambil bahagian boleh mendapat manfaat daripada peningkatan pengiktirafan dan peluang untuk mempertingkatkan lagi kehadiran jenama mereka dalam industri ini.

Inisiatif kerjasama ini selaras dengan aspirasi kerajaan menerusi Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp), bagi melengkapkan sasaran dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021-2025), dengan menekankan pembangunan pendigitalan dan kemampanan.

Pada keseluruhannya, NTB berfungsi sebagai agenda penting untuk pembangunan eksport Malaysia dan seterusnya memberi impak positif kepada negara.

Hasil yang lebih tinggi daripada eksport membawa kepada lebih banyak peluang untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan negara.

Program Lawatan Industri dan Sesi Taklimat & Konsultasi Matrade bersama SIDEC telah dianjurkan pada 13 Jun lalu disertai lebih kurang 100 peserta dari Program Top ECM 2024 dengan memberi bimbingan tentang peranan, perkhidmatan dan program membantu usahawan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menerokai pasaran antarabangsa dan mendedahkan para peserta kepada maklumat peluang pasaran e-Dagang di Amerika Syarikat dan China.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Matrade, Mansor Shah Wahid, agensi kerajaan seperti Matrade berperanan untuk membantu dan mengukuhkan PMKS dengan melengkapkan para usahawan yang terlibat di dalam sektor e-Dagang untuk berdaya saing dengan bantuan fasilitasi kesesuaian akses pasaran untuk eksport seiring dengan transformasi digital dan daya tahan digital menerusi program sebegini.

“Dengan usaha ini, Matrade berharap ia dapat memberi kesedaran kepada PMKS mengenai bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan institusi swasta yang terlibat di dalam ekosistem eksport negara,” tambah beliau.

Selain itu, program seperti ini dapat memberi peluang kepada PMKS berdaftar dengan Matrade menjalani Export Readiness Assessment Tool (ERAT), yang merupakan satu sistem yang direka untuk syarikat mengukur tahap kesediaan atau potensi untuk mengeksport produk/perkhidmatan mereka.

ERAT menilai kesediaan mengeksport sesebuah syarikat dari segi sumber eksport, kaedah pemasaran, komitmen pengurusan dan potensi produk/perkhidmatan syarikat mereka. – MalaysiaGazette