Kim Jong Un menyambut ketibaan Presiden Rusia Vladimir Putindi Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang di ibu negara Korea Utara. Foto oleh KCNA VIA KNS / AFP)

SEOUL – Presiden Rusia Vladimir Putin tiba di Pyongyang pada hari Selasa untuk lawatan pertamanya ke negara itu dalam tempoh 24 tahun.

Presiden Rusia itu dijemput oleh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, yang “secara peribadi bertemu Vladimir Putin di lapangan terbang di Pyongyang,” kata Kremlin dalam satu kenyataan.

Selepas berjabat tangan, kedua-dua pemimpin itu meninggalkan lapangan terbang dengan kereta yang sama.

Yury Ushakov, pembantu kepada Putin, telah memberitahu wartawan pada Isnin bahawa lawatan itu akan berlangsung dua hari, dengan acara utama berlangsung pada hari kedua.

Putin diberi sambutan rasmi, menurut Ushakov.

Rusia dan Korea Utara merancang untuk menandatangani beberapa dokumen selepas rundingan, dengan kenyataan bersama dijangka dikeluarkan oleh Putin dan Jong Un, kata Ushakov.

Acara istiadat juga akan berlangsung, termasuk lawatan ke monumen yang didedikasikan untuk askar Tentera Merah yang terkorban semasa memerangi tentera Jepun di Korea semasa Perang Dunia II, selain konsert.

Putin dan Jong Un akan bersama-sama ke lapangan terbang selepas majlis resepsi rasmi negara.

Dalam perjalanan, mereka akan singgah ke satu-satunya gereja Ortodoks di Korea Utara, Katedral Holy Trinity.

Kali terakhir Putin melawat Korea Utara ialah pada tahun 2000, ketika negara itu masih di bawah pimpinan Kim Jong Il, bapa kepada Jong Un. – Agensi