Pengusaha bas akan mengurangkan kekerapan perjalanan bas jika kerajaan tidak menambahkan kuota minyak subsidi susulan pengapungan harga diesel di pasaran.

KUALA LUMPUR – Pengusaha bas akan mengurangkan kekerapan perjalanan bas jika kerajaan tidak menambahkan kuota minyak subsidi susulan pengapungan harga diesel di pasaran.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Asfar Ali berkata, pengapungan harga diesel akan memberi kesan yang besar kepada pengusaha yang juga berdepan masalah kekurangan pemandu.

Beliau berkata, walaupun pengusaha boleh membeli diesel subsidi pada harga RM1.88 seliter tetapi kuota yang diberikan adalah tidak mencukupi.

Jelasnya, keadaan itu bermakna pengusaha perlu membeli diesel mengikut harga pasaran selepas kuota diesel subsidi habis digunakan.

“Sebelum ini, kami telah menghantar surat kepada kerajaan meminta kuota diesel subsidi sebanyak 1,440 liter kepada bas biasa dan 2,880 liter kepada bas ekspres ditingkatkan.

“Selain itu, kami juga meminta supaya pengusaha boleh membeli minyak diesel pada kadar RM1.50 seliter. Namun, kerajaan belum membalas surat kami,” katanya kepada China Press.

Mohamad Asfar berkata, kadar tambang bas ekspres tidak diselaraskan sejak 2008 dan dalam keadaan kuota diesel subsidi yang tidak mencukupi, pengusaha terpaksa memohon kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengurangkan kekerapan perjalanan.

“Kos operasi yang tinggi hanya dapat dikurangkan dengan mengurangkan kekerapan perjalanan bas,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bas ekspres dan bas sekolah tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga tambang kerana mereka masih menikmati kemudahan pembelian diesel subsidi pada kadar RM1.88 satu liter.

Katanya, bas ekspres juga tidak boleh menaikkan tambang sewenang-wenangnya, tetapi perlu menerima kelulusan APAD.

Dalam perkembangan berkaitan, pengusaha pelancongan telah mengumpulkan 50 bas persiaran untuk melawat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyuarakan bantahan mengenai pengapungan harga diesel.

Bas persiaran tidak disenaraikan sebagai pihak yang menerima diesel subsidi dan pihak pengusaha pelancongan telah menyatakan perlu menaikkan harga pakej pelancongan.

Keadaan itu bagaimanapun dikhuatiri akan menjejaskan daya saing negara dalam menarik pelancong. – MalaysiaGazette