Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti Don Daniyal Don Biyajid sekali lagi menjadi tumpuan selepas tersilap mengeluarkan pendapat mengenai puasa pada hari kedua, ketika dan keempat Aidiladha.

Don Daniyal berkata, beliau mengeluarkan pendapat mengenai puasa berkenaan dalam keadaan mengelirukan.

“Saya minta maaf sebab menjawab dalam keadaan mengelirukan. Saya minta maaf banyak-banyak semoga Allah mengampunkan dosa kita semua.

“Jawapan yang betul pada Hari Raya Aidiladha tak boleh puasa dan Hari Tasyrik iaitu hari kedua, ketiga dan empat iaitu pada 11, 12 dan 13 (Zulhijjah),” katanya dalam satu perkongsian video di media sosial.

Sebelum itu tular di media sosial jawapan Don Daniyal yang menjawab soalan daripada seorang pendengar di sebuah stesen radio.

Pendengar tersebut bertanya sama ada boleh atau tidak berpuasa pada Hari Raya Aidiladha.

Dalam jawapannya, Don Daniyal menjawab diharamkan untuk berpuasa pada hari raya pertama sama ada pada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha.

“Jadi kalau tanya boleh tak berpuasa pada hari raya haji, tak boleh kalau hari raya yang pertama. Hari raya kedua, Ketiga dan keempat bolehlah.

“Sama juga macam Aidilfitri. Aidiladha tak boleh, Aidilfitri tak boleh pada hari raya pertama,” katanya dalam audio yang ditularkan di media sosial.

Bagaimanapun Don Daniyal kemudian membetulkan kesalahan yang dibuat melalui perkongsian di media sosial.

“Dia tanya Ustaz boleh atau tidak berpuasa pada Hari Raya Aidiladha. Jadi masa kami nak rakam, kami tanya ini hari raya pertama sahaja ke? Hari raya pertama sahaja dia jawab, untuk kita beritahu yang mudah.

“Jawapan yang panjang sepatutnya Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri hari pertama tak boleh puasa, sama macam Aidilfitri hari raya kedua, ketiga dan keempat itu baru boleh puasa.

“Berbeza dengan Hari Raya Aidiladha ada Hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13. Bila jadi macam itu panjang huraian dia. Masa itu nak bagi faham sahaja, hari raya pertama tak boleh puasa. Itu sahaja. Tapi saya minta maaf, sebab jawab mengelirukan. Maafkan saya,” kata Don Daniyal.

Sementara itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyrik.

Hari-hari Tasyrik ialah 11,12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 18,19 dan 20 Jun 2024.-MalayiaGazette