Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memberhentikan saman fitnah RM10 juta yang dikemukakan beliau terhadap Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), K. Lalitha di Mahkamah Tinggi di sini.

Azam, 60, menyaman Lalitha, 51, pada 12 Jan 2022 berhubung penerbitan dua bahagian artikel bertajuk ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?’ berkaitan pembelian saham yang disiarkan portal agensi berita Independent News Service (INS).

Menurut Notis Pemberhentian bertarikh 11 Jun lepas yang diperoleh media hari ini, Azam memberhentikan tindakan saman atas dasar tanpa prejudis dan tanpa pengakuan kedua-dua pihak.

Berdasarkan notis itu, pemberhentian saman itu juga dibuat tanpa kebebasan memfailkan semula dan tanpa perintah terhadap kos.

Notis terbabit difailkan firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad yang mewakili Azam dan ditandatangani bersama peguam Lalitha daripada firma guaman Tetuan Khairuddin, Ngiam & Tan.

Pada pengurusan kes saman itu hari ini, Hakim Datuk Akhtar Tahir melapangkan tarikh perbicaraan kes itu yang dijadualkan bermula 9 Julai ini.

Dalam penyataan tuntutan, Azam selaku plaintif mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk “Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?” (Bahagian 1) dan “Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?” (Bahagian 2) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Okt 2021 dan diterbitkan semula pada 15 Dis tahun sama.

Plaintif mendakwa Lalitha selaku defendan turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.

Dakwa Azam, tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat.

Beliau mendkwa ia berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

Azam mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula.

Selain itu, plaintif juga memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.

Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Lalitha menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 3 Feb 2022 mendakwa kandungan artikel dan ciapannya melibatkan Azman diperoleh daripada sumber yang sah.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here