Eksekutif Pemasaran, China National Publication Import and Export Shenzhen Co. Ltd., Lai Hongshuang (duduk empat dari kanan) turut meraikan kejayaan Penerbit UPSI.

TANJUNG MALIM – Tiga buah buku terbitan Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya tersenarai dalam katalog ’50 Best Malaysian Titles for International Rights’ Edisi 2023/2024.

Pengiktirafan itu diterima bersempena Pesta Buku Antarabangsa Beijing ke-30 yang sedang berlangsung di Malaysia Pavilion, China National Convention Centre (CNCC), China.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, Penerbit turut mencipta rekod baharu apabila 11 buah buku berjaya terpilih dalam senarai 200 Judul Bagi Perolehan Perpustakaan Projek Khas China 2024 yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB).

“Tiga buah buku tersebut adalah Countering the Western Canon- Other Ways Of Knowing About Journalism And Media, Wayang Kulit Kelantan Evolusi Bentuk Gumbalan Seri Rama, Rawana dan Siti Dewi dan buku Asas Kemahiran Jawi Evolusi Tulisan Jawi dan Seni Khat.

“Buku Countering the Western Canon- Other Ways Of Knowing About Journalism And Media tulisan Ahmad Murad Merican mewakili pembabitan beliau dalam epistemologi, sejarah, budaya dan perspekstif kemasyarakatan dalam dunia kewartawanan dan media.

“Buku Wayang Kulit Kelantan Evolusi Bentuk Gumbalan Seri Rama, Rawana dan Siti Dewi pula adalah buku yang diterjemahkan daripada hasil penyelidikan dan pengalaman penulis, Dr. Fara Dayana Mohd Jufry sebagai pengamal dari generasi keempat Dalang tersohor negeri Kelantan, Mamat Semail. Buku ini dihasilkan berdasarkan latar belakang setiap watak dengan menampilkan imej wajib dalam rekaan gambalan.

“Manakala Asas Kemahiran Jawi, Evolusi Tulisan Jawi dan Seni Khat adalah karya Makmur Harun dan Nur Faaizah Md Adam mengupas berkaitan sejarahnya, serta memuatkan kaedah mempelajari dan menguasi tulisan jawi dan khat melalui cara mempraktikkan dengan betul selain turut menyediakan latih tubi untuk menulis dan membunyikannya secara betul,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Pengarah, Dr. Nordiana Hamzah berkata 11 buah buku telah berjaya terpilih untuk 200 Judul dipamerkan di ruangan Perolehan Perpustakaan Projek Khas China yang diwujudkan untuk membuka peluang UPSI meneruskan usaha dalam mengangkat karya-karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Ia terdiri dari empat buah buku bahasa Inggeris iaitu Early Childhood Curriculum, Integrated Classical Guitar Method: Accelerated Learning for beginners, Countering the Western Canon dan Dewa Pechil A Mak Yong Tale Told By Ali Bin Ibrahim.

“Selain itu buku bahasa Melayu iaitu Arkeopelancongan di Malaysia Antara Prospek Dan Cabaran, Naratif Filem: Satu Pengenalan, Penyelidikan Itu Mudah – Panduan Penyelidikan Bahasa Dalam Pendidikan, Pedagogi dalam Pendidikan Jasmani Berasaskan Stail Pengajaran, Media Pendidikan Kajian & Reka Bentuk Berpusatkan Pelajar, Kepimpinan dan Pengurusan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Wayang Kulit Kelantan Evolusi Reka Bentuk Gambalan Seri Rama, Rawana dan Siti Dewi.

Menurut beliau, kesemua judul yang terpilih itu dibawa ke pesta buku tersebut yang disertai 1,600 pempamer dari 71 negara berlangsung pada 19 hingga 23 Jun di Beijing.

“Kami juga akan mempergiatkan usaha menghantar sebanyak mungkin penyertaan dalam pelbagai pertandingan yang relevan di pelbagai peringkat bagi memberi nilai tambah kepada buku-buku terbitan UPSI selain meningkatkan semangat penulis untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

“Kepada yang berminat mendapatkan buku-buku itu boleh berkunjung ke kedai buku UPSI yang terletak di aras bawah Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI atau menerusi laman e-dagang rasmi PKM di Shoppe, Lazada dan Youbeli,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here