Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kes dikesan melibatkan Skim Pelaburan Kakaue -skim tipu pelaburan kripto tidak wujud dengan jumlah kerugian bernilai lebih RM3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 22 akaun bank atas pelbagai syarikat dan perniagaan sedang disiasat dipercayai digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket berkenaan.

Menerusi laporan yang diterima JSJK, mangsa berusia 57 tahun merupakan seorang peguam mendakwa telah ditipu dan mengalami kerugian RM1.3 juta selepas menyertai pelaburan Kakaue.

“Berdasarkan siasatan, sekitar Disember 2023, mangsa tertarik dengan pelaburan Kakaue setelah melihat iklan yang dipaparkan di Facebook.

“Mangsa kemudian telah dihubungi melalui WhatsApp oleh beberapa individu yang mendakwa sebagai wakil dari Syarikat Kakaue Exchange yang kononnya berpangkalan di Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Ramli, setelah mangsa mendaftar menerusi laman sesawang di www.kakauesr.com, mangsa membuat pemindahan wang secara berperingkat ke 14 akaun syarikat yang berbeza dengan nilai keseluruhan RM1,339,918.

“Melalui platform pelaburan itu, mangsa dapat melihat wang pelaburannya menjana keuntungan namun apabila ingin mengeluarkan keuntungan tersebut, pelbagai alasan telah diberikan oleh pihak sindiket.

“Mangsa yang curiga apabila mendapati tiga matawang krito yang dibelinya melalui platform tersebut tidak ditawarkan oleh mana-mana exchanger matawang kripto yang lain.

Bagaimanapun, siasatan berhubung kes terbabit masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ramli juga menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa pelaburan Kakaue diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang berminat untuk membuat pelaburan wang kripto dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk dapatkan nasihat.

“Ketika ini terdapat enam syarikat yang dibenarkan untuk melakukan mata wang kripto di Malaysia antaranya Luna Malaysia Sdn Bhd, HATA Digital Sdn Bhd dan MX Global Sdn Bhd.

“Adalah penting untuk membuat pelaburan di syarikat atau exchanger yang diluluskan sahaja agar wang yang dilaburkan terjamin serta dilindungi oleh undang-undang di negara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette